Tuesday, September 23, 2008

Kisah Jenaka : Lailatul Qadar

LAILATUL QADAR..

"LEPAS BASUH PINGGAN, IKUT ABAH PERGI MASJID," KATA ABAH SEPARUH MEMERINTAH. AKU MEMANDANG KEPADA EMAK. EMAK ANGGUK SAHAJA. MAKSUDNYA EMAK MAHU AKU IKUT ABAH SOLAT SUBUH KE MASJID.

JANGAN MELAWAN. NAMPAKNYA, AKU KENA BATALKAN NIAT UNTUK SAMBUNG TARIK GEBAR SELEPAS KENYANG BERSAHUR. AKU BONCENG DI BELAKANG. KAMI TIDAK PAKAI HELMET. KOPIAH SAHAJA.

GANJIL. DALAM CAHAYA SURAM MENJELANG SUBUH, AKU LIHAT KUBAH MASJID BERADA DI TANAH. BUKAN DI BUMBUNG MASJID. AJAIB. ABAH MACAM TIDAK NAMPAK KEGANJILAN ITU.

AKU CUIT BAHU DIA DAN TUNJUKKAN KE ARAH KUBAH YANG BERADA DI TANAH. MUNGKIN KUBAH ITU TENGAH SUJUD FIKIR AKU. "KENAPA?" TANYA ABAH.

"LAILATUQADAR," KATA AKU DENGAN JARI MASIH MENUNJUK KEPADA KUBAH... ... ...

"KEPALA OTAK ENGKAU. BERAPA LAMA ENGKAU TAK KE MASJID?"

TIDAK PASAL-PASAL AKU KENA MARAH. ROSAK PENGALAMAN SUCI AKU INI.

"DIORANG TENGAH RENOVATE MASJID LA. BUMBUNG MASJID BOCOR.. PASAL TU KUBAH TU DORG ANGKAT LETAK KAT TANAH..BODOH," SAMBUNG ABAH MEMAKI LAGI...

TERSENYUM2 AKU DIBELAKANG MOTO. NAMPAK SANGAT AKU DAH LAMA TAK KE MESJID...

Salam mesra,

~angahnafi~

http://angahnafi.blogspot.com

Friday, September 19, 2008

Nuzul Al-Quran....

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

PERISTIWA Nuzul al-Quran dicatatkan berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.. Bagaimanapun, wujud kekhilafan bila tarikh sebenar Nuzul al-Quran atau penurunan al-Quran yang telah dibincangkan secara ilmiah.

Pensyarah Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin berkata, percanggahan pendapat di kalangan ulama adalah berdasarkan kepada nas dan dalil yang terkandung dalam al-Quran yang menjelaskan peristiwa penurunan kitab suci Allah itu.

Kebanyakan ulama berpendapat, al-Quran diturunkan pada malam al-qadar. Ini berpandukan kepada surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.

Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan al-Roh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Dalam surah ini, malam penuh kesejahteraan merujuk kepada malam al-qadar iaitu 10 malam terakhir Ramadan.

Sebahagian ulama pula mengatakan al-Quran turun pada bulan Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Baqarah, ayat 185. Allah s.w.t. berfirman: (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil).

Berbanding dengan kedua-dua surah tersebut, ada juga kalangan ulama berpendapat lailatul qadar adalah pada 17 Ramadan. Ini terkandung dalam surah al-Dukhan, ayat 3, Allah s.w.t. berfirman: Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.

Berdasarkan kepada surah tersebut, malam yang diberkati ialah malam al-Quran pertama kali diturunkan. Kebanyakannya menganggap ia jatuh pada tanggal 17 Ramadan. Mohd. Zamri berkata, kalangan ulama juga berpendapat bahawa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan dengan berpandukan kepada surah al-Anfal, ayat 41 yang bermaksud: Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk (jalan) Allah, rasul, kerabat rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibn al-sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) pada hari Furqan, iaitu pada hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala urusan.

Apabila dibahaskan, para ulama bersepakat menyatakan bahawa ayat ini menerangkan berlakunya Perang Badar iaitu peperangan pertama bagi umat Islam pada 17 Ramadan. Hari al-furqan, jelas Mohd. Zamri, ialah hari kemenangan orang Islam dan kekalahan orang kafir iaitu hari bertemunya dua pasukan dalam Perang Badar yang berlaku pada Jumaat 17 Ramadan tahun kedua Hijrah.

Lebih tepat lagi 17 Ramadan ini ialah peperangan pertama bagi umat Islam dengan 313 tentera Islam menentang 1,000 tentera musuh.“Walaupun wujudnya kekhilafan dalam mencari tarikh sebenar penurunan al-Quran, para ulama yang berijtihad berpendapat peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadan.

Malam Al Qadar seperti yang diketahui ialah 10 hari terakhir Ramadan. “Justeru, al-Quran adalah anugerah paling istimewa kepada umat manusia kerana ia diturunkan dalam bulan paling istimewa iaitu Ramadan yang mengandungi rahmat dan barakah,” jelas beliau berhubung tarikh sebenar penurunan al-Quran.

Peringkat Nuzul al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi melalui peringkat-peringkat tertentu seperti mana yang terkandung dalam surah al-Furqan, ayat 32, Allah s.w.t. berfirman: Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”, demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacakannya dengan teratur satu persatu.

Dijelaskan bahawa Al-Quran tidak diturunkan sekali gus tetapi beransur-ansur agar hati Nabi Muhammad s.a.w. menjadi kuat dan tegap. “Nabi Muhammad s.a.w. hidup di Mekah selama 13 tahun dan Madinah selama 10 tahun. Jadi bagaimana pula al-Quran boleh diturunkan sekali gus 30 juzuk? Baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. semasa hidup dan selepas kewafatannya barulah al-Quran lengkap.

Allah s.w.t. turunkan Al-Quran (lengkap 30 juzuk) pertama kali dari Luh Mahfuz dan kemudian ke Baitul Izzah (langit dunia) pada malam bulan Ramadan. Setelah melalui kedua-dua peringkat ini, Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. selama 23 tahun.

*Berselimut Wahyu pertama diterima melalui malaikat Jibril di gua Hira’. Surah al-Alaq ialah wahyu pertama yang diterima Nabi pada bulan Ramadan, kata Mohd. Zamri. Martabat penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. terkandung dalam empat surah iaitu al-Alaq (bacalah), al-Qalam (pena), al-Muzamil (orang yang berselimut) dan al-Muddathir (berselimut) yang mengandungi pengajaran di sebaliknya.

Melalui surah al-Alaq ayat 1 hingga 5, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Intisari ayat ini ialah Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya melengkapkan diri dengan ilmu dan memperbanyakkan ilmu dengan membaca dengan syarat, bacalah atas nama Allah. Ramai orang yang berilmu tetapi tidak beriman kepada Allah s.w.t. dan menggunakan ilmu ke arah keburukan yang boleh menghancurkan manusia.

Surah al-Qalam pula mengingatkan menerusi ayat satu yang bermaksud: Nun, demi kalam dan apa yang mereka tulis. Allah s.w.t. menunjukkan betapa pentingnya pena dalam menyebarkan ilmu. Untuk mengukuhkan ilmu, manusia digalakkan belajar menulis.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat disuruh menulis di atas pelepah kurma, kulit kambing yang kering dan batu supaya ilmu yang diperoleh tidak hilang.Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berjumpa dengan malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu pertama kepadanya, Baginda amat takut hingga menggigil seluruh tubuh badannya. Baginda meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya dengan kain yang tebal.

Pada masa ini, Allah s.w.t. berfirman: Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) separuh daripada waktu malam atau kurangilah daripada separuh itu sedikit, atau lebihkan sedikit daripadanya. Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil. (al-Muzamil: 1-4)

“Penurunan ketiga-tiga surah di atas jelas menunjukkan bahawa setelah mempunyai ilmu, perkara yang paling penting adalah mempunyai hubungan yang intim dengan Allah s.w.t. sebelum terjun berdakwah ke dalam masyarakat. Allah s.w.t. perintahkan bermunajat dan bangun solat pada waktu malam untuk menguatkan mental dan rohani iaitu ciri-ciri penting yang perlu ada pada pendakwah.

Sejak turunnya ayat ini, Nabi Muhammad s.a.w. tidak pernah meninggalkan qiamullail. “Kemudiannya, Allah s.w.t. turunkan perintahnya melalui surah al-Muddathir, ayat 1 hingga 2, yang bermaksud: Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! Ertinya, dengan pengukuhan ilmu dan kemantapan hubungan yang erat dengan Allah s.w.t., berikanlah peringatan kepada orang yang masih belum mengetahui.

Kita dapat melihat bagaimana Baginda menghadapi banyak dugaan dan cabaran dalam menegakkan syiar Islam di Mekah,” jelas Mohd. Zamri menceritakan rentetan peristiwa penurunan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w.. Berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 185 dijelaskan bahawa al-Quran adalah petunjuk bagi manusia yang mengandungi keterangan dan bukti.

Rentetan yang membuktikan al-Quran diangkat sebagai mukjizat yang kekal hingga hari kiamat adalah berpandukan sorotan beberapa peristiwa mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi terdahulu.Sebagai contoh, pada zaman Nabi Saleh, masyarakat ketika itu terlalu memberi tumpuan pada penternakan hingga Nabi Saleh datang dalam bentuk mukjizat dengan menyerupai unta yang keluar dari celah batu.

Begitu juga yang berlaku pada zaman Nabi Musa yang penduduknya gemar mempelajari ilmu sihir. Maka, Nabi Musa diutuskan dalam bentuk mukjizat berupa sihir untuk melemahkan kaumnya. Nabi Musa boleh menukar tongkat menjadi ular yang besar hingga kebolehan luar biasanya itu berjaya menarik kaum tersebut beriman kepada Allah s.w.t..

Masyarakat pada zaman Nabi Isa lebih tertumpu pada ilmu perubatan. Mukjizat yang diturunkan kepadanya ialah Nabi Isa boleh menyembuhkan penyakit sopak dan buta hinggalah pada satu peringkat boleh menghidupkan orang yang telah mati dengan izin daripada Allah s.w.t..

Pada zaman Nabi Muhammad pula, syair-syair dan kesusasteraan Arab muncul sehingga pasar-pasar menjadi tempat mendeklamasikan karya mereka dan tulisan tersebut turut digantung di kelambu-kelambu Kaabah. Lalu turunlah al-Quran dalam bentuk mukjizat yang boleh melemahkan ahli-ahli sastera pada waktu tersebut dengan ayat-ayat al-Quran yang begitu indah di samping makna yang begitu jelas dan tepat.“Itu adalah mukjizat yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul.

Persoalannya, pada zaman kita hari ini, di manakah terletaknya mukjizat al-Quran? Jika diperhatikan, manusia akhir zaman ini lebih mengagungkan fakta saintifik dan penemuan terbaru sains dan teknologi. Sedangkan al-Quran telah menerangkan bukti-bukti tentang sains sejak ia diturunkan 1,400 tahun lalu,” kata Mohd. Zamri.

Antaranya, dalam surah al-Rum, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud: Telah dikalahkan bangsa Rom di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam beberapa tahun (lagi). Bagi Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu bergembiralah orang-orang yang beriman.

Diceritakan kerajaan Rom yang beragama Nasrani mempunyai kitab suci manakala orang Parsi beragama Majusi iaitu menyembah api dan berhala. Kedua-dua bangsa ini saling berperang. Ketika tersiar berita kekalahan bangsa Rom oleh bangsa Parsi, kaum musyrik Mekah menyambutnya dengan penuh kegembiraan kerana ia berpihak kepada orang musyrikin Parsi.

Ini menyebabkan kaum muslimin berdukacita.“Ayat ini mengajar manusia agar sentiasa peka dan mengambil tahu tentang isu-isu antarabangsa. Melalui ayat itu juga terbukti Rom memenangi peperangan tersebut setelah kalah kepada Parsi. Ini juga menunjukkan al-Quran bersifat futuristik. Malah disebut juga, bahawa peperangan tersebut berlaku di bumi paling bawah (ajna). Masyarakat mufasir terdahulu tidak boleh terfikir kerana tiada kemudahan teknologi dan sebagainya.

Apabila dikaji, pertembungan Rom dan Parsi berlaku di Laut Mati yang terletak di bawah paras aras laut. Siapakah yang membuktikan wujudnya tempat bumi paling bawah jika bukan daripada al-Quran?” terang Mohd. Zamri mengenai surah al-Rum.Al-Quran ialah mukjizat yang kekal hingga kiamat kerana terdapat lebih daripada 200 fakta sains yang tidak disingkap sejak ia diturunkan tetapi berjaya dibongkar pada kurun terakhir ini. Islam dan al-Quran adalah satu cara hidup.

Al-Quran bukan untuk dibaca tetapi dihayati dan difahami sebagai buku panduan yang kekal hingga hari kiamat. Ramadan ialah bulan yang paling sesuai untuk memperbanyakkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran kerana Allah s.w.t. menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda.Untuk mengimarahkan sambutan Nuzul al-Quran dan mengembalikan kehebatan al-Quran, gerakan bersepadu semua pihak perlu digembleng termasuklah dalam media, kerajaan dan masyarakat.

Melalui al-Quran, banyak perspektif boleh dikupas dengan baik dengan menampilkan banyak kelainan, misalnya menunjukkan bukti-bukti sains dan al-Quran.“Ditegaskan bahawa al-Quran adalah panduan kepada umat manusia menjalani kehidupan di dunia dan akhirat. Untuk menghayatinya, kita bukan sahaja perlu tahu membaca tetapi memahami maksud setiap ayat yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dan beramal kepadanya.”

Salam Mesra,

~angahnafi~

http://angahnafi.blogspot.com

Sunday, September 14, 2008

Adab-Adab Ketika Berbuka....

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Bagi mereka yang telah melaksanakan ibadah puasa, untuknya ada dua ketika kegembiraan. Pertama ; Pada ketika berbuka dan Kedua; Ketika menghadap Ilahi.

Disaat kegembiraan kita sedang berbuka, kita perlu sedar bahawa terdapat beberapa adab dan tertertib yang perlu kita ikuti ketika kita menjamah makanan ketika berbuka. Artikel kali ini adalah berkaitan dengan adab-adab ketika berbuka. Diharapkan artikel ini dapat membantu kita memperbaiki dan dapat diamalkan didalam kehidupan kita seharian.

ORANG berpuasa mesti menjaga adab-adab sepanjang menjalankan ibadah tersebut. Ini termasuklah adab-adab berbuka puasa. Adab-adab berbuka puasa yang perlu diberi perhatian adalah:

- Menyegerakan berbuka (Ta’jil Al-Iftar) sejurus masuk waktu maghrib.
Ini berdalilkan hadis daripada Sahl bin Sa’d, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka puasa. (riwayat al-Bukhary dan Muslim).

- Memulakan makan dengan basmalah, makan dengan tangan kanan dan mengakhirinya dengan hamdalah.
Ini berdalilkan hadis ‘Umar bin Abi Salamah r.a. (anak tiri Rasulullah) yang pernah tinggal di bawah jagaan Nabi SAW. Kata ‘Umar: Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: Wahai budak kecil! Apabila kamu hendak makan maka sebutlah nama Allah, gunakanlah tangan kananmu, dan ambillah makanan yang terhidang dekat denganmu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

- Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.
Rutab adalah buah kurma separuh masak, yang lembut dan manis rasanya. Tamar pula adalah buah kurma yang sudah kering.Rutab ialah buah kurma masak yang masih basah. Apabila ia kering dan mengecut ia dipanggil tamar.

Anas berkata: “Rasulullah SAW berbuka puasa sebelum solat (maghrib) dengan beberapa biji rutab (sekurang-kurangnya tiga biji kerana jamak muannath salim dalam bahasa Arab bermula dengan bilangan tiga), jika tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar (juga sekurang-kurangnya tiga biji) dan jika tiada tamar maka baginda menghirup beberapa teguk air (juga sekurang- kurangnya tiga teguk), sesungguhnya ia adalah suci”. (riwayat al-Tirmidzi)

Inilah sunnah Nabi s.a.w. yang diabaikan oleh kebanyakan orang yang berpuasa, khususnya dalam beberapa undangan umum di mana disediakan makanan dan minuman yang baik dan lazat. (Mahmud bin Ahmad Rasyid, Tawjih al-Sari Li al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah, Dar Ibnu Rajab, al-Mansurah, 2004 : 136).

Dakwaan bahawa jika tiada tamar, maka sunat berbuka dengan buah-buahan lain atau kuih muih yang manis juga tiada sebarang dalil daripada sunnah Nabi SAW.

- Segera solat maghrib selepas berbuka jika makanan belum dihidangkan.
Hadis Anas yang kita bincangkan di atas menunjukkan Nabi SAW berbuka dengan rutab, tamar atau air sebelum solat maghrib. Selepas berbuka, sunat dia menyegerakan solat maghrib. Selesai solat dia boleh kembali menyambung makan malam untuk memenuhi hajatnya (ibid: 36)

Bagaimanapun, jika makanan telah dihidang, makruh kita meninggalkan makanan kerana mahu segera menunaikan solat. Makruh di sini adalah hal-hal yang dapat mengurangi kesempurnaan solat namun tidaklah tidaklah sampai membatalkannya. (Abdulah bin ‘Abd al-Rahman ‘Ali Bassam, Tanbih al-Afham wa Taisir al-‘Alam, Dar Ibnu Haitsam, Cairo, 1992 : 157-158).

- Tidak makan dengan kadar berlebihan
Ini bertepatan dengan firman Allah: Dan makanlah kamu dan minumlah kamu, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (al-‘Araaf : 31).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda supaya kita membahagikan perut kepada tiga iaitu satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. (riwayat al-Tirmidzi)

- Berbuka secara berjemaah
Disunatkan makan secara berjemaah termasuk ketika berbuka. Para sahabat dapat merakamkan perihal berbuka Nabi SAW kerana mereka berbuka secara berjemaah bersama Nabi SAW.

- Berdoa ketika berbuka.
Berdasarkan kepada hadis Nabi s.a.w. adalah sunat berdoa: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (riwayat Ibn Majah)

- Berdoa kepada mereka yang menyediakan hidangan berbuka.
Ini seperti doa Nabi SAW kepada para sahabat yang menjamu Baginda dengan makanan dan minuman seperti yang diriwayatkan oleh ‘Abdillah bin Busr di mana Nabi menyebut: …Ya Allah! Berkatilah mereka pada rezeki yang Engkau anugerahkan, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka. (riwayat Muslim).

- Menyediakan Iftar (hidangan berbuka) bagi mereka yang berpuasa.
Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang yang berpuasa) tanpa dikurangi sedikitpun ganjaran orang yang berpuasa itu”. (riwayat al-Tirmidzi)

- Tidak mencela makanan
Kata Abu Hurairah: Rasulullah SAW tidak pernah mencela mana-mana makanan. Apabila Baginda menyukai (mengingini) sesuatu makanan dimakannya, dan apabila Baginda tidak menyukainya ditinggalkan sahaja. (riwayat Muslim)

- Menjilat/mengulum jari sejurus selesai makan.
Abdullah Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang kamu makan maka janganlah dia menyapu tangannya sebelum dia menjilat/mengulum jari-jarinya. (riwayat al-Bukhari)

Ini jelas menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya perbuatan menjilat jari-jari adalah sesuatu yang menjijikkan.

Sekian, terima kasih.

Salam mesra,

~angahnafi~

http://angahnafi.blogspot.com

Saturday, September 13, 2008

Kisah Jenaka 1 : Solat Tarawikh

Kisah ini benar-benar terjadi padaku sewaktu aku kanak-kanak dahulu. Ayah aku suka memberi amaran padaku dengan menjeling garang jika aku membuat sesuatu yang tidak disukainya.

Contohnya, jika ke kedai, kalau aku mengambil gula-gula, dia akan menjeling padaku bermakna aku disuruh letakkan semula gula-gula itu ke tempatnya semula. Suatu hari, aku mengikut ayah ke surau untuk solat Tarawikh. Ketika sedang rukuk, aku melihat kain pelikat tok imam tersepit di celah punggungnya.

Aku yang 'konon'nya ingin membantu, terus menarik kain yang tersepit tu. Ayahku yang sedang solat terus memberi jelingannya padaku. Aku pun faham maksudnya itu, lalu terus memasukkan semula kain pelikat tok imam itu semula ke celah punggung tok imam tadi.

Apalagi, melatah lah tok imam tadi. Habis satu jemaah batal solat mereka kerana turut terkejut dengan latahan tok imam tadi. Ayahku yang bermuka merah padam menahan malu dan marah mengheret aku balik ke rumah. Malam tu, berbirat punggung aku dirotannya.

Moral : Jangan memandai nak masukkan kain ke celah punggung tok imam.

Salam Mesra,

~angahnafi~

http://angahnafi.blogspot.com

Selamat Berpuasa......

Assalamualaikum dan salam sejahera,

Alhamdulillah dan syukur kehadrat Allah s.w.t diatas limpah kurniaNya dan RahmatNya kita masih lagi berpeluang bertemu bulan yang penuh barakah dan penuh keistimewaan yang hanya dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Masa begitu pantas berlalu dan hari ini merupakan hari yang ke 12 kita telah berpuasa. Dikesempatan ini marilah bersama-sama kita mengikhlaskan diri dan memperbanyakkan amalan-amalan ibadah kita kepada Allah kerana kita telah sedia maklum bahawa bulan Ramadhan ini Allah menjanjikan pahala yang besar kepada umatnya. Janji ini adalah datangnya dari Allah dan pastinya kita sebagai hamba yang hina ini pelu merebut segala kurniaanNya.

Sesungguhnya ibadah puasa ini memberikan seribu cabaran dan dugaan buat kita semua. Biasanya ketika menjalani ibadah puasa kita akan mudah berasa letih, lapar, dahaga dan juga kadang-kadang membuatkan kita mudah marah. Perkara yang kecil pun boleh membuatkan kita hilang sabar dan mudah melenting. Bulan puasa inilah melatih kita agar dapat meningkatkan kesabaran dan mengajar kita agar sentiasa berada didalam ketenangan.

Kita sering berandaian bahawa bulan puasa ini, kita akan lebih berjimat dan juga dapat mengurangkan perbelanjaan harian disaat kenaikan harga barangan ini. Namun begitu amat jarang kita dapat melihat perkara ini berlaku. Kita biasanya akan membeli lebih dari apa yang kita perlukan. Lebih-lebih lagi ketika membeli dipasar Ramadhan yang menawarkan perbagai juadah makanan yang menyelerakan.

Adalah tidak salah kita membeli juadah makanan untuk berbuka tetapi hendaklah kita merancang dan juga mengelakkan dari melakukan pembaziran. Secara lumrahnya, amatlah jarang kita dapat habiskan kesemua juadah yang dibeli dan kadang-kadang terpaksa dibuang.

Cara yang terbaik adalah kita merancang juadah yang hendak dibeli. Mungkin hari ini kita beli air soya untuk berbuka, esok air tebu dan hari berikutnya air yang lain pula. Daripada kita membeli ketiga-tiga air tersebut untuk berbuka. Dan kita sedar bahawa setiap ahli keluarga mempunyai berbagai citarasa. Dari itu hendaklah kita bijak untuk berbelanja dan juga mengelakkan pembaziran berlaku.

Harus disedari, kita berpuasa selama sebulan dan kita masih lagi boleh menikmati juadah yang kita inginkan pada hari-hari yang lain. Jadualkan pembelian dan rancanglah perbelanjaan anda.

Dikesempatan ini saya mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan moga amalan kita pada tahun ini diterima olehNya.

“Permulaan Ramadhan itu adalah Rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka.”

Salam Mesra

~ angahnafi ~

http://angahnafi.blogspot.com/