Sunday, August 3, 2008

Pendapatan Pasif @ Passive Income.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Wang dijana ketika anda tidur!!!

Sekali dengar mungkin kita akan mengatakan ianya penipu dan tidak masuk dek akal. Orang mungkin akan berkata “Bagaimana mungkin wang boleh dijana ketika tidur? Itu sudah merepek!

Tapi percayalah sudah ramai mereka diluar sana mampu menghasilkan wang ketika mereka menonton tv, melancong hatta ketika bersembang dikedai kopi. Mungkin ada persoalan dibenak kita, perniagaan apakah yang menguntungkan ini?

Pendapatan begini dinamakan pendapatan pasif (Passive Income). Pendapatan pasif ini tidak memerlukan usaha yang berterusan dan juga tidak memerlukan kita menghabiskan sepenuh masa untuk menguruskannya. Ia merupakan pekerjaan yang dilakukan sekali sahaja dan memberikan pulangan berterusan. Ianya juga boleh dilakukan secara sambilan dan tidak mengambil terlalu banyak masa.

Terdapat berbagai-bagai jenis pendapatan pasif ini boleh dilakukan dan ianya merupakan perkara yang telah lama dilakukan oleh mereka yang tahu dan kita juga sudah biasa dengannya. Cuma kita tidak menyedari bahawa ianya merupakan perkara yang boleh menjanakan wang untuk kita. Pendapatan pasif ini datangnya dari minat kita, hobi dan perkara-perkara yang kita suka lakukan.

Berikut adalah sebahagian pendapatan pasif yang boleh saya berikan didalam post kali ini untuk dikongsikan kepada anda semua.

Hartanah/Bangunan
Merupakan aset yang paling menguntungkan dan memberikan pulangan yang menguntungkan kepada kita. Pendapatan dari sewaan sama ada sewaan rumah, ruang pejabat atau kedai merupakan pendapatan yang dijanakan setiap bulan kepada kita.

Membeli sebuah rumah dan juga sesebuah hartanah memerlukan modal yang besar dan juga tempoh pembiayaan yang panjang merangkumi puluhan tahun. Kita harus bijak menetapkan jumlah sewa agar pendapatan yang diterima dari sewaan melebihi kos atau bayaran bulanan terhadap hartanah tersebut.

Sekiranya, pendapatan sewaan yang diterima adalah kurang dari bayaran bulanan dan kos yang tanggung merupakan satu liabiliti kepada kita. Ini tidak menguntungkan kita. Aliran tunai menjadi negatif dan kita semakin terbeban dengan bayaran ansuran rumah, cukai dan juga yuran penyelenggaraan.

Semua ini harus diambil kira agar kita tidak tersalahlangkah. Sesuatu hartanah yang mempunyai nilai yang tinggi adalah berkisar kepada lokasi. Lokasi yang baik dan menjadi rebutan kepada para penyewa adalah merupakan hartanah yang menguntungkan. Walaupun kita lihat hartanah tersebut tidaklah menarik dan merupakan bukan citarasa kita. Tetapi para penyewa sanggup untuk membayar sewa adalah satu petanda yang baik. Lokasi yang baik memberikan kelebihan dan juga pendapatan kepada kita. Kita hanya perlu pastikan bahawa setiap bulan wang masuk kedalam akaun kita.

Bakat
Setiap manusia telah dianugerahkan oleh Allah sesuatu bakat yang istimewa dan cuma kita kadang-kadang tidak menyedarinya. Bakat yang ada seperti bakat menulis, memasak, menyanyi, mencipta lagu, melukis dan apa sahaja bakat yang ada boleh digunakan untuk menjana pendapatan.

Boleh jadi hasil-hasil karya yang anda simpan selama ini mampu mendatangkan pendapatan yang berlipat kali ganda. Yakinlah pada bakat anda dan sekiranya ditolak tidak bermakna ianya punah segalanya. Akan ada satu waktu karya anda akan dihargai dan diminati.

Percayalah, mereka yang mencipta lagu hanya bekerja sekali sahaja dan memperoleh pendapat sepanjang hayat hatta sudah meninggal sekalipun pendapatan dari karya mereka masih dijana. Contoh terdekat adalah Arwahyarham Tan Sri P. Ramlee dan juga Arwahyarham Sudirman.

Hobi
Hobi adalah sesuatu perkara yang kita suka lakukan diwaktu lapang dan hobi ini juga boleh memberikan pulangan kepada kita. Hobi seperti mengumpul stem peringatan atau duit-duit peringatan mampu memberikan pendapatan yang lumayan jika dijual kepada mereka yang berminat. Biasanya mereka yang mempunyai hobi yang sama akan mempunyai satu jaringan perhubungan yang boleh bagi mereka menambahkan kolesi yang sedia ada.

Selain itu hobi seperti menangkap gambar juga boleh memberikan pendapatkan kepada kita sekiranya gambar-gambar yang diambil mendapat permintaan yang menggalakkan.

Internet – Blog/Web
Satu lagi bidang yang boleh dicuba iaitu Internet. Ketika ini sudah ramai mempunyai blog dan juga laman web sendiri. Kemunculan blog-blog persendirian ini semakin berkembang. Termasuklah penulis sendiri......

Mencipta dan membuat blog ketika ini tidak sesukar seperti yang difikirkan kerana kesemua penyedia-penyedia laman blog telah menyediakan satu kaedah yang mudah untuk dikendalikan. Tanpa ilmu IT anda mampu menghasikan blog anda sendiri.

Melalui laman-laman blog ini anda boleh menjual produk-produk dan juga perkidmatan anda sendiri disamping mendapat pandapatan dari pengiklanan. Dengan syarat laman blog anda mempunyai pengunjung yang ramai. Pendapatan dari pengiklanan ini memberikan pendapatan secara tidak langsung kepada kita.

Pendidikan Dewasa
Anda juga boleh mengadakan pendidikan dewasa. Antaranya kelas mengaji Al-Quran, aerobik, pengurusan kewangan, kelas masakan, kelas tarian, yoga, seni mempetahankan diri, renang dan banyak lagi. Saya boleh jamin bahawa terdapat pasaran yang begitu besar bagi aktiviti-aktiviti tersebut, kerana manusia semuanya ingin melakukan sesuatu yang berguna dalam kehidupan mereka.

Perkara yang paling utama adalah anda perlu merupakan pakar didalam bidang tersebut. Jika anda ingin mengenakan bayaran bagi kelas tersebut anda perlu mahir dan mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup.

Itu adalah sebahagian dari idea-idea yang boleh dikongsikan kepada anda dan terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan pendapatan pasif ini. Walaupun begitu setiap kerja yang dilakukan perlu mempunyai keazaman, kerja keras dan juga kesabaran. Walaupun ianya nampak mudah tetapi kesungguhan dan kebijaksanaan diperlukan untuk memastikan setiap usaha mendapat pulanggan yang diinginkan.

Namun begitu walaupun kita sibuk mengejar pendapatan pasif ini, terdapat 2 peraturan yang perlu anda ikut pada setiap masa sekiranya anda merupakan pekerja sepenuh masa iaitu:

1.Jangan lakukan sesuatu yang boleh menjejaskan pekerjaan anda
2.Jangan menjual dipejabat.

Walaupun kebebasan adalah kehendak utama setiap manusia, anda akan kehilangan banyak lagi jika anda tidak mempedulikan 2 perkara ini. Kita boleh membuat apa sahaja dalam hidup ini, tapi ingat kita juga bertanggugjawab atas semua apa yang kita lakukan.

Sekian.

Salam mesra,
~angahnafi~

http://angahnafi.blogspot.com/

No comments: